mcmc
Pendidikan

Pendidikan

SEKOLAH KEBANGSAAN (SK) SAINT JOHN KAMPUNG MEDONG DALAT

            


Ilmu pengetahuan merupakan aset bernilai yang harus dibekalkan kepada generasi muda kerana mereka adalah pelapis yang bakal mentadbir dan bertanggungjawab menentukan jatuh atau bangunnya negara ini. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, anak-anak di daerah ini diberi pendidikan awal sejak usia lima atau enam tahun. Kanak-kanak di kampung ini mendapat pendidikan awal di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) sebelum meneruskan pendidikan ke sekolah rendah. Di sekolah rendah, kanak-kanak akan diberi pendidikan yang lebih formal selama enam tahun.

 

Sebuah Sekolah Rendah yang agak menyerlah prestasinya di daerah ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Saint John, Dalat yang telah wujud sejak 1950. Ketika itu, nama asalnya ialah Sekolah Penghulu Sakul, sempena nama pengasas sekolah iaitu Penghulu Sakul Tira. Pada tahun 1956, pentadbiran sekolah ini diserahkan kepada pihak Mubaligh, dan nama sekolah ditukar sekali lagi kepada Sekolah Rendah Bantuan Saint John, Dalat. Lokasi sekolah adalah terletak di hujung Kampung Medong dan jarak dari Pekan Dalat ialah sejauh tujuh kilometer.

Kegiatan kokurikulum telah dijalankan mengikut jadual tertentu seperti pertandingan bola sepak, sepak takraw, futsal, badminton dan lain-lain. Pihak sekolah lazimnya menghantar murid-murid yang berpotensi untuk menyertai pertandingan tersebut. Bagi aktiviti unit beruniform pula, terdapat Persatuan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan Tunas Puteri yang aktif melaksanakan aktiviti luar seperti perkhemahan.

Bagi kegiatan persatuan atau kelab, pihak sekolah juga telah menghantar murid-murid untuk mewakili sekolah ke pertandingan Musabaqah Al-Quran, Kuiz Matematik, Bahasa Inggeris, Bercerita Dalam Bahasa Inggeris, Public Speaking, Kuiz Sains dan Bercerita Dalam Bahasa Malaysia dan banyak lagi aktiviti lain.

Melalui jabatan Pelajaran dan Pejabat Pendidikan Daerah, program-program bantuan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Skim Bantuan Tuisyen (SKT) dan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) telah juga dapat dilaksanakan dengan baik. Dalam pada itu, pihak sekolah juga memberi bantuan berupa sehelai jaket lut sinar kepada murid-murid yang tinggal di seberang sungai serta bantuan pakaian seragam kepada yang tidak berkemampuan.

Bagi merapatkan hubungan antara ibu bapa dan guru atau pihak sekolah, Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG), SK Saint John, Dalat telah ditubuhkan sejak tahun 1987. Sepanjang penubuhannya, ia telah banyak menyumbang dan membantu meningkatkan prestasi pelajar melalui penglibatan aktif seperti melalui aktiviti-aktiviti rasmi dan tidak rasmi selain merapatkan hubungan yang lebih akrab. Perhubungan seumpama itu telah membawa kepada peningkatan kesedaran tentang pentingnya kerjasama antara sekolah dan masyarakat dan telah menampakkan hasil yang amat membanggakan.

.

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DAERAH DALAT
 
 
 

Penubuhan sekolah ini adalah atas daya usaha pemimpin-pemimpin tempatan dan ketua-ketua kaum di daerah ini ( sebelum ini Dalat bukanlah sebuah daerah ). Ini adalah kerana pada peringkat awal boleh dikatakan hampir 90% penuntut-penuntut dari kawasan ini melanjutkan pelajaran menengah mereka di SMK Three Rivers, Mukah.

Di antara tokoh-tokoh yang terlibat dalam membuka sekolah ini adalah wakil-wakil rakyat seperti YB En. Sim Boon Liang, En. Vincent Suyong, YB.  En. Edward Ensen dan  Datuk Haji Salleh Jafaruddin. Pada masa itu, YB Datuk Hj. Salleh Jafaruddin adalah Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia yang merupakan perasmi  sekolah ini pada 29 Oktober 1978.

Tapak asal yang dicadangkan bagi sekolah ini bukanlah di tapak sekarang tetapi di Tegup, Jengin, satu kawasan di antara kampung Kekan dengan Pekan Dalat. Sekolah ini adalah untuk menampung pelajar-pelajar dari persekitaran Batang Oya ( dari Ulu Baoh hingga ke Oya )   serta kawasan muara Batang Igan ke kawasan Bungan, Batang Igan. Murid-muridnya  sebilangan besar adalah dari suku kaum Melanau, Iban dan Cina.