Di medong antara produk desa yang mampu dikomersialkan ialah sagu. Ia merupakan makanan tradisional yang unik di kalangan masyarakat Melanau. Meskipun pernah menjadi makanan ruji masyarakat Melanau satu ketika dahulu, ia kini merupakan makanan ringan yang enak dimakan dengan ikan bilis serta kacang goreng.
Melihat potensi sagu dalam bidang komersial, kerajaan negeri turut menyenaraikan produk industri desa itu dalam barisan produk ‘Sarawak Best’.‘Sarawak Best’ yang wujud sejak September 2006 merupakan program untuk meningkatkan mutu produk industri desa.Menerusi program itu kerajaan berharap industri desa dapat meningkatkan kualiti serta mempunyai potensi untuk dipasarkan secara besar-besaran. Laman web ‘Sarawak Best’ menyenaraikan 34 produk di bawah penjenamaan ‘Sarawak Best’ yang merangkumi makanan ringan, kraf tangan dan cenderamata. Bagaimanapun, tidak semua pengusaha pembuat sagu memperoleh pengiktirafan ‘Sarawak Best’.Pada masa ini, jenama Sagu Medong merupakan satu-satunya produk sagu yang mencapai tahap kualiti, sekali gus layak menerima pengiktirafan ‘Sarawak Best’.
Produk berkenaan diusahakan oleh Masinah Paris dari Kampung Medong, Dalat. Peluang untuk meningkatkan populariti makanan tradisional itu sudah pasti digunakan sebaik mungkin oleh pengusaha makanan sagu menerusi Karnival Balau Dalat 2009. Karnival yang berlangsung selama tiga hari diadakan dengan tujuan mempamerkan produk yang diperbuat daripada pokok rumbia.